5 restoran untuk menikmati makanan halal di Shanghai 

5 restoran untuk menikmati makanan halal di Shanghai 

Ditulis oleh: Farah Hanan Azahar

 

Kredit: Unsplash / Edward He

Dunia kulinari Shanghai turut diwarnai dengan kepelbagaian menu tempatan yang menyelerakan, lebih-lebih lagi senarai jenis makanan jalanan Cina yang tidak berkesudahan. Mungkin anda terasa sukar untuk mencari makanan halal semasa pertama kali anda ke Shanghai. Ye lah, lagi-lagi melihat papan tanda berlainan bahasa di mana-mana, terasa seperti rusa masuk ke kampung pun ada. Tapi dengan panduan makanan ini, tak perlu risau lagi! 

Sama dengan Beijing, Kunming, dan Chengdu, kebanyakan restoran halal di bandar Shanghai dimiliki oleh etnik Muslim di China yang dikenali sebagai masyarakat Hui dan Uyghurs. Shanghai dianggarkan mempunyai 70,000 penduduk beragama Islam, dan makanan halal boleh ditemui di sekitar tempat tarikan utama atau kawasan kejiranan Islam yang berhampiran masjid. Restoran yang diiktiraf halal akan memaparkan tulisan halal dalam huruf Jawi atau 清真 (qīngzhēn, maksudnya halal) pada papan tanda dan menu mereka. 

 

Tandakan restoran-restoran halal ini jika anda bakal ke Shanghai nanti: 

1. Yershari Restaurant

Kredit: Facebook / Irwan Jaafar

Dengan 15 cawangan di sekitar Shanghai, restoran ini menjadi pilihan mudah bagi pengembara Muslim untuk menikmati makanan halal. Kami cadangkan anda ke cawangan restoran ini di East Nanjing Road yang terletak berhampiran The Bund. Selain itu, Yershari Restaurant juga mempunyai cawangan di Dongfang Road, berhampiran Binjiang Avenue dan Century Park. 

Jika anda ingin mencuba makanan tradisional Xinjiang dengan harga berpatutan, inilah restoran halal yang sesuai. Baik daripada samosa kambing, ayam da pan ji, pelbagai masakan mi, kebab kambing pedas, hinggalah manisan seperti yogurt masam homemade dan Xinjiang milk tea, variasi menu yang ditawarkan oleh Yershari Restaurant pasti dapat memuaskan selera sesiapa sahaja. 

Alamat: 7/F, No. 819 East Nanjing Road, Huangpu District, Shanghai 

Waktu operasi: 11.00 pagi – 11.00 malam 

 

2. Hong Chang Xing Restaurant

Kredit: Smart Shanghai

Selepas bersiar-siar di sekitar Muzium Shanghai, singgahlah di Hong Chang Xing Restaurant yang berhampiran. Restoran ini merupakan antara restoran halal tertua di bandar Shanghai dan telah wujud sejak tahun 1891 lagi. Restoran empat tingkat yang lebih high-end ini menampilkan hiasan dalaman yang elegan dengan keistimewaan masakan tradisional Cina. Ia sentiasa dipenuhi pelanggan semasa makan tengah hari dan makan malam, jadi membuat tempahan awal sangat digalakkan.

Restoran ini cukup popular dengan masakan Hui dan resepi yang diwarisi turun-temurun iaitu hot pot daging kambing dengan kuah istimewa yang dimasak dengan cara tradisional menggunakan periuk tembaga dan dibakar dengan arang. Anda juga boleh mencuba makanan tempatan popular seperti itik peking, serta beraneka steamboat dan dumpling. Terdapat pelbagai pilihan roti, pastri, dan snek di tingkat bawah, jadi bolehlah anda tapau untuk bawa pulang ke hotel! 😋

Alamat: No. 1 Yunnan South Road, Huangpu District, Shanghai

Waktu operasi: 11.00 pagi – 2.00 petang, 5.00 petang – 10.00 malam 

 

3. A Thousand & One Nights Restaurant

Kredit: Facebook / Rofaye Cui

Bercuti dengan kawan yang mempunyai selera besar? Nikmati pengalaman yang berbeza di Shanghai dengan masakan Lubnan. Dengan hiasan unik yang berkonsepkan Timur Tengah, A Thousand & One Nights Restaurant memberikan suasana yang indah dan selesa untuk anda menjamu selera. Restoran eksklusif ini menawarkan pelbagai jenis menu berkualiti dengan bahagian makanan yang besar, dan sangat berbaloi dengan harganya. 

Buka selera dengan roti Arab yang lembut dengan sos istimewa sebelum menikmati menu restoran ini yang popular seperti pelbagai jenis kebab, daging bakar, dan masakan barbeku. Pada waktu malam, suasana restoran ini bertukar meriah dengan mainan muzik dan persembahan belly dancing untuk menghiburkan para pelanggan yang hadir bermula jam 8.00 malam. 

Alamat: 10 Hengshan Road, Lingguan Square, Xuhui District, Shanghai

Waktu operasi: 11.00 pagi – 2.00 pagi 

 

5. Guan Guan Ji Xibeilou Restaurant 

Kredit: Muslim2China

Ke mana saja anda berjalan di Shanghai, pasti akan ternampak gerai jualan pau Cina yang dipanggil baozi. Di restoran halal ini, anda boleh menikmatinya tanpa keraguan! Terletak di Zheijiang Road yang sibuk, Guan Guan Ji Xibeilou Restaurant yang dibuka pada lewat petang ini terkenal dengan masakan panggang dan makanan jalanan Cina dari bahagian barat laut, dan ia sangat sesuai bagi mereka yang inginkan makanan ringkas tetapi masih memenuhi selera.

Di restoran ini, anda boleh memilih daripada makanan segar yang ditawarkan secara terbuka, ataupun cuba makanan dalam menu seperti mi daging lanzhou (mesti cuba!), shashlik, hotpot, dan masakan kari. Dengan pelayan tetamu Muslim yang mesra, suasana sederhana restoran ini pasti membuat anda selesa. Dari sini juga anda boleh mengunjungi tempat berhampiran seperti Masjid Fuyou ataupun Taman Yuyuan.

Alamat: 70-2 Zhejiang Middle Road, Huangpu District, Shanghai

Waktu operasi: 6.00 petang – 3.00 pagi 

 

5. Huifenglou Muslim Restaurant

Kredit: IslamiChina

Istimewa dengan masakan asli Hakka, restoran halal yang terkenal di Shanghai ini juga telah wujud lebih daripada ratusan tahun. Walaupun restoran besar ini mampu memuatkan dalam 100 pelanggan pada satu masa, anda masih digalakkan untuk membuat tempahan terlebih dahulu kerana ini adalah spot makan malam yang popular di Shanghai. Restoran ini juga turut menyediakan kemudahan bilik sembahyang bagi pelanggan Muslim.

Walaupun seni bina restoran ini nampak agak lama, jangan terpedaya dengan luarannya. Makanan lazat yang ditawarkan di sini sangat berbaloi dan murah, dengan anggaran sekitar RMB 40 seorang untuk satu hidangan lengkap. Cadangan menu di sini termasuklah yangrou atau hirisan daging kambing, xiong zhang dou fu iaitu tauhu yang dimasak gaya tempatan, dan snek yinsijuan iaitu sejenis roti ban gulung yang lembut.

Alamat: M-Building, No. 1088, Lujiabang Road, Huangpu District, Shanghai

Waktu operasi: 11.00 pagi – 10.00 malam 

 

BONUS: Pasar Makanan Muslim Shanghai @ Masjid Huxi 

Kredit: Flickr / Mathias Apitz  

Inilah tempat terbaik untuk anda menikmati pengembaraan kulinari halal yang menyeluruh di Shanghai! Masjid Huxi yang terletak di Changde Road merupakan masjid yang penting di bandar Shanghai. Pada setiap hari Jumaat, kawasannya yang tenang bertukar sibuk dengan ramai peniaga yang menjual makanan halal. Kebanyakan daripada mereka berasal daripada komuniti Uyghur, dan anda juga boleh bertemu pelancong Muslim lain di sini.

Dengan beraneka makanan yang ditawarkan, tidak hairanlah mengapa pasar ini juga menarik perhatian pengunjung bukan Muslim. Antara makanan yang perlu dicuba ialah nasi pilaf, mi sejuk Liangpi, dumpling labu, dan kambing barbeku. Di sini juga anda boleh mencari pelbagai jenis kacang untuk kudapan, dan makanan bermusim seperti buah-buahan tempatan segar serta minuman yang istimewa seperti jus delima segar pada musim tertentu. 

Alamat: 1328 Changde Road, Putuo District, Shanghai

Waktu operasi: 10.00 pagi – 3.00 petang 

_______________________________________________________________________

Kenyang perut, suka hati! Untuk memudahkan perjalanan anda di Shanghai, pilih untuk menginap di hotel yang berhampiran restoran-restoran ini.

0 Shares
Share
Tweet
+1
Pin
Share